School of Pharmaceutical Sciences, Universiti Sains Malaysia

Kayu Manis

Kayu manis, atau juga dikenali sebagai daun salam India, boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 6 m dan kadang-kadang boleh mencapai ketinggian sehingga 12 m. Batangnya tegap dengan ukuran diameter antara 30-60 cm. Pokok yang matang mempunyai kulit yang tebal berwarna coklat kelabu. Pokok ini mempunyai dahan yang rendah dan banyak. Hujung daunnya tirus dengan bahagian pangkalnya adalah bulat dan kadang-kadang sedikit tirus.

Tumbuhan ini mempunyai bahan antifungal dan antibakteria. Minyak dari tumbuhan ini mudah meruap dan ianya digunakan untuk mengawal jangkitan kuman dan mengawal tekanan darah rendah manakala bahagian kulitnya digunakan untuk rawatan dispepsia (ketidakhadaman makanan), kembung perut, disentri (cirit birit), bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong) dan gangren (pereputan tisu) pada paru-paru. Kulit pokok yang diketuk dan dimasak boleh digunakan pada bahagian luar badan dengan cara menuam bagi rawatan bisul yang bernanah.

Minyaknya juga adalah mujarab untuk merawat penyakit reumatik yang teruk dan kronik. Kayu manis juga boleh merawat kekejangan urat perut, sakit gigi dan hilang daya gerak pada bahagian lidah serta boleh digunakan untuk rawatan kanser. Di China, kulit pokok dan ranting yang dikeringkan boleh dijadikan rawatan bagi merawat kanser, tekanan darah tinggi dan masalah sakit perut dengan mencampurkan dengan bahan ubatan lain.

  • Hits: 35

School of Pharmaceutical Sciences
11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.

Tel : +604-653 2211  |  Fax: +604-657 0017